Penjaga Stor Ke Tali Gantung Kerana Bunuh Teman Wanita
SHAH ALAM, 22 Mac (Bernama) -- Seorang penjaga stor yang tidak dapat menerima hakikat bahawa teman wanitanya akan berkahwin dengan lelaki lain bertindak membunuh wanita itu dengan mencekik mangsa menggunakan tudungnya.Mahkamah Tinggi di sini diberitahu Isnin, untuk melindungi jenayah itu, dia mendakwa mereka berdua merancang membunuh diri dengan minum racun ala kisah "Romeo dan Juliet".
Bagaimanapun alasan pembelaan tertuduh, Shahrul Nizam Mohd Shah, 38, itu tidak dapat diterima oleh mahkamah yang memutuskan bahawa tertuduh bersalah membunuh Nurul Hazira Bharum, 26, dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atasnya.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Lot 2584-1, Batu 19, Kampung Gombak, Kuang, Rawang, kira-kira pukul 9 pagi pada 7 Okt 2008.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Dalam pembelaannya, Shahrul Nizam mendakwa dia dan Nurul Hazira bercadang membunuh diri dan mendakwa mangsa telah memaksanya untuk minum racun.
Laporan bedah siasat bagaimanapun mengesahkan bahawa punca kematian Nurul Hazira adalah kerana lemas akibat dicekik dan tiada kesan racun ditemui di dalam tubuh mangsa.
Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki ketika menjatuhkan hukuman berkata tekanan yang kuat untuk mencekik mangsa adalah konsisten dengan terjumpanya rantai emas yang putus di dalam baju mangsa.
"Tertuduh mendakwa dia minum dulu beberapa teguk racun dan kemudian pengsan.
"Tiada keterangan yang menunjukkan mangsa sebelum kejadian nak bunuh diri dan semua saksi seperti ibu bapa, rakan sekerja dan tunang mangsa tidak menyatakan sedemikian. Kedudukan mangsa yang baring tidak konsisten dengan minum racun sendiri," katanya.
Tambahan pula beliau berkata, keterangan saksi ketujuh pendakwaan (jiran tertuduh) bahawa tertuduh datang ke rumahnya dan minta bantuan dengan memberitahu bahawa orang rumahnya sudah minum racun tidak konsisten dengan dakwaan tertuduh mengenai rancangan dia dan teman wanitanya ingin membunuh diri.
"Saya dapati tertuduh waras bila datang minta tolong jiran dan kata nak pinjam telefon kerana orang rumahnya minum racun. Semua ini tidak konsisten dan pembelaan tertuduh adalah afterthought (ditambah kemudian) serta tidak timbulkan apa-apa keraguan," katanya.
Sepanjang perbicaraan, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong memanggil 15 saksi, sementara pembelaan yang diwakili peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff mengemukakan seorang saksi.
No comments:
Post a Comment