Saturday, March 20, 2010

PERIGI MENCARI TIMBA

Entiti seorang wanita tidak dapat lari daripada dikaitkan sebagai ciptaan yang mampu menentukan jatuh bangun masyarakat melalui peranannya sendiri mahupun melalui peranan yang dimainkan terhadap lelaki.

Ayat Al-Quran tersusun indah mengikut kecenderungan manusia. Ayat bab zina dimulakan dengan penzina perempuan (Az-zaniah) dan diikuti penzina lelaki (Az-zani). Ayat bab mencuri pula dimulakan dengan pencuri lelaki (As-sariqu) dan diikuti dengan pencuri perempuan (As-sariqatu). Diambil dari sini, permulaan pada bibit-bibit zina itu adalah melalui seorang wanita.

Namun kini, saya melihat situasinya mula berubah. Dahulu imej wanita itu dikaitkan sebagai penggoda sehingga mampu membawa seorang Abid ke lembah kekufuran dan beraneka lagi hikayat yang mengisahkan kejatuhan seorang lelaki yang hebat dek kerana tergoda dengan wanita yang cantik. Hikayat-hikayat ini sering menjadi bahan bacaan saya di waktu kecil.

Keadaan itu mungkin tidak berubah pada dunia secara global. Justeru kita melihat, pelbagai artikel ilmiah dan dakwah menyeru wanita supaya menjaga diri mereka. Mengelakkan diri daripada menjadi fitnah. Menjaga pemakaian dan pergaulan. Dari aspek menutup aurat sehinggalah ke aspek muamalah. Dari cara bercakap sehinggalah cara berjalan. Semuanya diambil berat terutama oleh golongan Adam yang mungkin rasa tergoda. Artikel-artikel yang menukilkan luahan rasa hati Adam yang sulit menundukkan pandangan dan sebagainya sangat kerap diulang siar.

Saya kadang-kala mahu marah. Sering wanita dipersalahkan. Tidakkah kalian sedar wahai Adam, ketika mana kalian sendiri menguarkan luahan hati bisikan iman kalian itu, kalian jualah yang membentuk dan menyuburkan pembiakan titik-titik hitam pada gumpalan darah bernama hati itu dengan pelbagai aktiviti mendekati zina yang kalian sendiri mulakan.

Contohnya senang, sejak terlibat aktif dengan dunia maya, bermula dengan Friendster pada tahun 2007, "Friendster Friend Request" saya majoritinya lelaki. Saya perhatikan itu.

Bercerita tentang YM, lagi banyak pengalaman. Percutian selepas SPM mengakibatkan saya bergerak aktif di alam maya sehinggalah kenalan YM saya bertambah dengan mendadak. Namun saya bersyukur, kerana hampir kesemua yang meng"add" saya di YM merupakan mereka yang mempunyai kesedaran agama dan perbincangan kami juga berkisar perihal yang perlu, dan amat membantu saya dalam proses pertukaran idea. Sungguh, saya rindu saat itu. Walaupun bercuti, minda saya berjalan dengan bantuan mereka. Saya yang baru bertatih mengenal dunia luar seakan-akan mendapat jalan pintas untuk ke aras pemikiran yang lebih matang. Dan saya tidak kisah, kenalan lelaki mahupun wanita, asalkan matlamat ilmu itu tercapai.

Sehinggalah ketibaan saya di bumi Mesir, mungin kerana sistem maklumat yang sangat canggih, saya juga tidak tahu bagaimana id YM saya dan beberapa rakan tersebar kepada golongan** yang tidak kami kenali, dan sekadar di"add" di YM untuk menambah koleksi barang kali. Kadang-kala saya mendengar cerita perbualan yang saya kira berlebihan melalui YM. Bukan sekali, sewaktu saya menatap skrin handset atau laptop yang sedang digunakan rakan-rakan saya, golongan** ini mem'BUZZ' dan memulakan perbualan yang saya kira sangat mengarut. Bukanlah saya tidak pernah chatting dengan lelaki, cuma saya merasakan mereka sangat mengarut dan menggunakan istilah yang amat tidak patut.

Akhirnya saya minta kebenaran rakan-rakan saya tadi untuk menegur kelakuan kenalan YM mereka itu. Biarlah mereka mengganggap saya syadid atau skema, yang pasti saya mahu mereka jelas dengan situasi.

Kisah saya sendiri pula, ramai (yakni lebih dari satu) juga yang meng"add" YM saya entah-dari-mana, yang memulakan perbualan secara "gedik". Seboleh mungkin saya cuba membalas mesej mereka sebelum akhirnya saya berterus-terang tentang pandangan dan perasaan saya dalam bentuk teguran langsung.

Dari cerita seorang kawan pula, kedapatan seorang lelaki ini yang saya kenali sebagai seorang yang pandai berkata-kata. Dia sering me"misscall" rakan saya ini, dan sering kali juga meminta credit sharing. Sedangkan dari yang saya kenal, si lelaki ini sering memuatkan artikel Islamik di blognya dan termasuklah juga artikel yang saya sebutkan sebagai peringatan kepada wanita.

Maka, wanitakah penggoda?

Persoalan ini saya ajukan kepada ibu saya. Jawab Ummi, begitulah zaman sekarang. Kita sebagai wanita yang perlu pandai jaga diri. Maka wanita, jagalah diri anda kerana mereka yang meminta anda menjaga diri itu sebenarnya sedang dalam kegagalan menjaga diri sendiri.

Bagi saya, saya suka mencari kenalan baru, bertukar pandangan dan idea, ilmu serta maklumat, pengalaman dan kemahiran, tapi tidak untuk bergedik santai, kerana itu satu penghinaan buat saya sebagai seorang Muslimah.

No comments:

Post a Comment

PENGIKUT BLOG INI...

AGAR-AGAR UKIR ZANZAUYAH: RM65 SATU SET

AGAR-AGAR UKIR ZANZAUYAH: RM65 SATU SET