Friday, July 29, 2011

APABILA DIUJI....HENDAKLAH SABAR.

Kisah Dr. 'Abdullah ini cukup menyayat hati. Beliau diuji dengan dugaan yang sangat kuat oleh Allah S.W.T.

Suatu hari, anak lelaki sulung beliau membawa semua ahli keluarganya ke satu kenduri perkahwinan tidak jauh dari rumah mereka. Hanya Dr. 'Abdullah yang tidak ikut serta ekoran tuntutan kerjaya beliau di universiti. Siapa sangka itulah kali terakhir beliau hidup bersama mereka. Dalam perjalanan pulang, kereta yang dipandu anak sulungnya kemalangan dan mengorbankan keseluruhan ahli keluarganya, kesemua 11 orang!

Walaupun Dr. 'Abdullah selalu bersabar apabila dihadapkan dengan pelbagai ujian, tetapi beliau tetap merupakan manusia biasa. Beliau tetap punya hati dan perasaan dan mata yang bisa menangis. Dia juga mempunyai jiwa yang kadangkala gembira dan kadangkala sedih.

Sungguhpun berita itu sangat merapuhkan hati, beliau tetap menyembahyangkan jenazah dan mengebumikan mereka dengan tangannya sendiri. Setelah selesai pengebumian, Dr. 'Abdullah pulang ke rumahnya yang pernah dihuni oleh anak-anak dan isteri beliau. Dengan hati yang masih terluka, beliau mula menjelajah ke segenap pelusuk rumah. Sunyi, sangat sunyi. Tidak seperti sebelumnya.

Beliau memandang mainan yang terbiar di atas lantai. Tiada lagi Khulud dan Sarah yang riang bermain dan kadang-kadang berebut permainan sampai bertelingkah kecil. Sungguh girang hati-hati suci itu!

Beliau menjenguk kamar tidur beliau dan isterinya. Matanya tertancap pada katil yang tidak dikemas kerana tiada lagi Ummu Salih, isterinya yang dicintai sepenuh hati yang setiap pagi akan mengemas katil mereka berdua tanpa bersungut. Basikal Yassir sepi sendirian tersandar pada dinding rumah. Tiada lagi pemuda mulia itu yang setiap petang akan menunggangnya ke pekan.

Beliau masuk ke kamar anak gadis sunti beliau yang sudah merancang untuk berkahwin dengan pemuda soleh pilihannya sendiri tidak lama lagi. Pakaian pernikahannya masih elok tersusun tidak terusik apatah lagi dipakai.
Masya-Allah. Kamu menghadap-Nya di saat-saat pernikahanmu semakin hampir!

Alangkah hebatnya seorang hamba Allah redha akan ketetapan Tuhannya. Sesiapa sahaja yang melihat beliau ketika mendapat ucapan takziah daripada orang ramai akan pelik. Kerana seolah-olah yang meninggal itu bukan sesiapa baginya. Malah beliau yang sebaliknya menasihatkan tetamu yang datang dengan tazkirah ringkas beliau.

Beliau sentiasa mengulang, "Dari Allah kita datang, kepada Allah jua kita kembali. Segala yang Allah kurniakan, itu kepunyaan-Nya. Segalanya telah Allah tetapkan."

No comments:

Post a Comment

PENGIKUT BLOG INI...

AGAR-AGAR UKIR ZANZAUYAH: RM65 SATU SET

AGAR-AGAR UKIR ZANZAUYAH: RM65 SATU SET