Monday, February 8, 2010

KAEDAH PENGURUSAN STRESS DALAM ISLAM

1) Tadabbur al-Qur’an:

Al-Qur’an merupakan cahaya, hidayah dan penyembuh bagi penyakit samada hati atau fizikal. Ia merupakan rahmat untuk sekalian alam. Dengan mentadabbur al-Qur’an yakni memahami, mendalami dan mententeramkan fikiran, hati dan jasmani.

Allah SWT telah berfirman dalam surah yunus, ayat 57:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Qur’an yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.”

Imam al-Ghazali telag membawa kaedah-kaedah supaya pembacaan al-Qur’an boleh memberikan yang maksimum. Antaranya:

1. Memahami al-Qur’an itu adalah percakapan Allah SWT.
2. Menggambarkan Keagungan Allah SWT dengan sifat dan Asma’Nya.
3. Menghadirkan hati dengan meninggalkan segala perkara yang dapat mengganggu konsentrasi dalam pembacaan.
4. Memikirkan erti al-Qur’an.
5. Cuba memahami maqasid atau tujuan ayat tersebut.
6. Menujukan segala ayat al-Qur’an itu pada diri sendiri.


2) Tafakkur:

Ia bermaksud merenung dan memikir dengan mendalam mengenai sesuatu. Proses tafakkur boleh dimulakan dengan berfikir tentang diri sendiri. Bertafakkur tentang segala nikmat yang telah Allah SWT berikan pada diri dari kesihatan, kesempurnaan diri. Kemudian boleh diluaskan kepada keluarga, masyarakat, negara dan alam ini.

Surah Luqman, ayat 20:

“Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nikmatNya yang zahir dan yang batin?”

Surah an-Nahl, ayat 18:

“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkanNya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Kemudian bandingkan diri dengan masyarakat sekeliling, dan lihat betapa banyaknya nikmat Allah SWT ke atas berbanding orang lain, haiwan dan tumbuhan, renungkan sebesar-besar nikmat iaitu Islam dan Iman.

3) Banyakkan Sedeqah:

Iaitu memberikan sedeqah semata-mata kerana Allah SWT. Salah satu perkara yang menyebabkan jiwa tidak tenang kerana harta. Harta adalah kurniaan Allah. Orang yang bakhil dan kikir disempitkan oleh Allah SWT hati dan akhlaknya kerana mereka bakhil dengan kurniaan Allah SWT kepadanya. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 245:


“Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.”

Nabi SAW telah menetapkan beberapa adab penting dalam bersedeqah supaya ia mampu memberikan keberkatan kepada orang yang bersedeqah. Antaranya:
1. Sedekah itu perlu diberi semata-mata kerana Allah SWT.
2. Sedekah ketika masih sihat.
3. Sedekahlah ketika seseorang itu merasa bakhil atau sangat sayang pada hartanya.
4. Sedekahlah ketika seseorang itu sedang mengimpikan dirinya menjadi kaya dan takut pada kemiskinan.
5. Sedekahlah tapi rahsiakanlah.
6. Sedekahlah tapi jangan bermegah atas orang yang menerima sedekah.


4) Taqarrub

Yakni mendekatkan diri kepada Allah SWT sehingga dapat mengenali Allah SWT, mematuhi perintahNya dan menjauhi laranganNya. Sehingga akhirnya dapat menduduki maqam seperti para solihin yang hampir dengan Allah SWT.

4.1 Hidupkan Malam Anda:

Iaitu bangun di tengah malam dengan meninggalkan segala kenikmatan tidur untuk menyembah Allah. Bahkan Rasul SAW dalam menerangkan kepentingan tahajjud, apabila seseorang itu bangun di tengah malam semata untuk mengingati Allah, dia bersusah payah berwuduk dan bersolat maka hatinya akan menjadi tenang dan dikuatkan jasmaninya.

Kisah penghuni syurga dalam Surah al-Dzariyyat, ayat 17:

“Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam, untuk mereka tidur.”


Sifat orang yang beriman itu ialah seperti yang digambarkan dalam Surah al-Sajdah, ayat 16:

“Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.”

Bangun malam adalah amat sukar kepada manusia. Bagi memudahkan bangun malam Imam Ghazali memberikan beberapa kaedah garis panduan. 4 perkara yang berkaitan dengan fizikal:
1. Jangan makan terlalu banyak.
2. Jangan melakukan aktiviti yang sangat berat hingga badan jadi letih untuk bangun tahajjud.
3. Tidur sebentar di siang hari.
4. Jauhkan dari perbuatan dosa pada siang hari kerana akan memberatkan hati untuk beribadat pada malam hari.

4 perkara yang berkaitan dengan rohaniah pula ialah:
1. Jauhkan diri dari perkara bid’ah dan jangan terlalu menyibukkan diri dengan urusan dunia di siang hari.
2. Timbulkan dalam hati perasaan khauf (takut) pada azab-azab Allah SWT dan jangan panjang angan-angan.
3. Berusaha mengetahui kelebihan-kelebihan bangun malam.
4. Suburkan dalam hati rasa iman dan cinta pada Allah SWT.

4.2 Banyakkan Berzikir:

Berzikir iaitu selalu mengingati Allah samada dengan lidah atau hati.

Surah al-Ra’ad, ayat 28:

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan ‘zikrullah’ itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

5) Husnu Dzon kepada Allah SWT:

Iaitu berbicara dan berkata dengan positif dan penuh pengharapan kepada Allah SWT. Ini kerana setiap lafaz yang diucapkan itu adalah doa dan sangkaan kita kepada Allah SWT.

“Sesungguhnya aku adalah sebagaimana sangkaan hambaKu”.

Al-A’raf, ayat 194:

“Sesungguhnya benda-benda yang kamu seru selain Allah adalah makhluk-makhluk seperti kamu. Oleh itu, (cubalah) menyerunya supaya benda-benda itu dapat memperkenankan permohonan kamu, kalau betul kamu orang-orang yang benar.”

6) Pengurusan

Iaitu kebijaksanaan dalam menguruskan masa, tenaga, keutamaan dan aset. Bahkan Allah SWT telah mengingatkan kita tentang beban kerja dan tanggungjawab itu perlulah sepadan dengan kemampuan kita. Bahkan kita diajarkan berdoa dari beban kerja yang berlebihan yang tidak mampu tanggung.

Surah al-Baqarah, ayat 286:


“Allah tidak memberati seseorang malainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.

Para hukama’ pernah berkata:
“Jangan kamu tanggung bola dunia itu di atas kepala kamu.”

7) Banyakkan Syukur kepada Allah SWT:

Berterima kasih kepada Allah SWT dan jangan sekali-kali jangan mencari balasan atau mengharapkan ucaoan terima kasih dari orang lain kepada kita.

Surah al-Insan, ayat 9:

(Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang dari kamu atau ucapan terima kasih.”

Surah Faathir, ayat 34:

“Dan (sebagai bersyukur) berkatalah mereka: “Sega puji tertentu bagi Allah, yang telah menghapuskan perasaan dukacita dari kami; Sesungguhnya Tuhan kami maha Pengampun, lagi sentiasa memberi balasan yang sebaik-baiknya (kepada orang-orang yang taat).

8) Tawakkal:

Berserah diri, menyerahkan natijah sesuatu perkara kepada Allah SWT setelah berusaha sedaya upaya, percaya kepada segala janjiNya. Ketika berjaya dia mengucapkan istighfar dan ketika gagal dia mengucapkan tahmid.

Al-‘Imran, ayat 173:

“Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) ketika mereka: “Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya”. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: “Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)”.

Terdapat beberapa unsur penting dalam tawakkal:
1. Seseorang itu menyedari bahawa Allah SWT yang memberi rezeki, kekuatan, keinginan dan tubuh badan yang sihat untuk dia berusaha meneruskan hidupnya di dunia ini.
2. Seseorang itu menyedari bahawa segala perbuatan dan tindakan, hakikat di sebaliknya adalah perbuatan Allah SWT.
3. Seseorang itu menyedari segala rezekinya itu datangnya dari Allah dan Allah jualah yang menggerakkan dia untuk mencari rezeki itu.



Kesimpulannya

Stress atau tekanan memang merupakan fitrah bagi manusia. Setiap dugaan yang datang adalah ujian dari Allah SWT bagi menaikkan darjat dan martabat seseorang di sisi Allah SWT. Islam telah menetapkan setiap manusia akan diuji bagi mencari calon yang terbaik bagi memenuhi syurga Allah SWT. Bagi seorang Mukmin itulah sebesar-besar ganjaran yang diimpikan.

Maka sebagai Mukmin kita perlu bersedia untuk menghadapi tekanan dalam kehidupan kita. Kita bersedia dari segala sudut samada dari sudut ruhaniah, mental dan fizikal. Seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Anfal, ayat 60:

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya sedang Allah mengetahuinya.”

No comments:

Post a Comment

PENGIKUT BLOG INI...

AGAR-AGAR UKIR ZANZAUYAH: RM65 SATU SET

AGAR-AGAR UKIR ZANZAUYAH: RM65 SATU SET