Lambakan pil dan serbuk khayal murah, bahan bacaan berunsur seks dan lucah serta pil perangsang seks masih didapati dijual secara terbuka kepada pelajar sekolah menengah dan belia di sekitar ibu negara, menurut Persatuan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPA).
Presiden MCPA Ravi Ponnan berkata berdasarkan pemantauan NGO itu, cakera padat lucah, pemetik api dan kad permainan daun
terup yang memaparkan imej wanita separuh bogel turut dijual.
"Kesemua barangan ini dan juga alat renjatan elektrik dan pistol mainan berkualiti tinggi juga boleh didapati dengan mudah dan murah di pasar-pasar awam dan kedai runcit," katanya dalam satu sidang media.
Ravi berkata sebagai contoh, sejenis ubat khayal buatan India yang didakwanya boleh menyebabkan kanser boleh didapati dengan harga 60 sen di pasar malam, kedai runcit dan juga restoran mamak.
"Ia berupa serbuk kasar yang merupakan campuran pinang dan tembakau. Meskipun ia bukan dadah, namun ia boleh memberi efek khayal selepas 15 minit memakannya, malahan di India serbuk ini diharamkan.
"Ubat ini menjadi tarikan kepada pelajar sekolah memandangkan harganya yang amat murah. Pelajar-pelajar ini menipu guru dan ibu bapa dengan mengatakan kononnya ia adalah ubat sakit kepala sedangkan mereka sudah ketagih ubat tersebut," kata Ravi.
No comments:
Post a Comment