Saturday, September 26, 2009

AJAK ISTERI MATI BERSAMA

Ajak isteri mati bersama

Laporan dan foto RAVALE SAVARINATHAN
am@hmetro.com.my

KENANGAN... Jamaliah (kiri) menceritakan kejadian yang
menimpa suaminya. Gambar kecil, Johari.


TELUK INTAN: “Arwah kerap berkata hendak mati semalam (kelmarin) dan mengajak saya mati bersamanya. Biarpun pelik dengan kata-katanya, saya anggap itu gurauan saja.

“Arwah juga menasihatkan saya supaya jangan tinggalkan kampung halaman ini jika apa-apa berlaku padanya.”

Demikian kata Jamaliah Ahmad, 32, mengenai perubahan sikap suaminya, Johari Selamat, 35, yang meninggal dunia selepas dipanah petir di Parit 4, Sungai Buaya, Seberang Perak, dekat sini, petang kelmarin.

Ketika kejadian kira-kira jam 4.15 petang, Johari bersama Jamaliah menabur benih padi dalam hujan renyai-renyai di sawah berhampiran rumah mereka.

Menurut Jamaliah, perkara yang tidak dapat dilupakan ialah ketika suaminya menitiskan air mata sambil memegang erat tangannya dan meminta tolong dengan nada perlahan sebelum menghembuskan nafas terakhir di atas ribanya.

“Itulah saat terakhir saya bersamanya selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga.

“Walaupun kami tiada anak, kekurangan itu kerap digunakan arwah untuk bermanja dengan saya, seolah-olah saya adalah segala-gala untuknya di dunia ini,” katanya ketika di temui di rumah bapa saudara arwah di Kampung Sungai Kerang, di sini, pagi semalam.

Jamaliah berkata, sebelum kejadian, arwah kerap memegang tangannya dan mengajaknya mati bersama-sama.

“Kami sama-sama menabur benih padi dan dia terus menggenggam tangan saya dan mengajak mati bersama. Ketika itu hujan renyai-renyai bersama petir.

“Sebaik arwah melepaskan tangan saya untuk meneruskan menabur benih, tiba-tiba saya terlihat satu pancaran cahaya putih menuju ke arah kami.

“Dalam sekelip mata pancaran cahaya itu terus kena pipi arwah dan dia jatuh tertiarap di atas sawah. Saya mengangkatnya dan meletakkan di atas riba.

“Ketika itu dia berkata sesuatu seperti meminta tolong dalam tangisan sebelum menghembuskan nafas terakhir,” katanya.

Jamaliah berkata, lebih menyedihkan, pagi kelmarin dia bersama arwah membeli-belah di bandar Teluk Intan untuk persiapan Aidilfitri dan merancang menyambutnya di rumah kakaknya di Kuala Lumpur.

Sementara itu, pesawah, Baharom Yaakub, 74, yang tinggal kira-kira 300 meter dari tempat kejadian berkata, dia terdengar bunyi letupan kuat sebanyak dua kali sebelum dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa Johari oleh seorang anaknya.

“Saya ke tempat kejadian dan melihat mangsa yang tidak lagi bernyawa di atas riba isterinya. Saya bersama beberapa penduduk membawa mangsa ke Klinik Ulu Dedap tetapi mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya.

No comments:

Post a Comment

PENGIKUT BLOG INI...

AGAR-AGAR UKIR ZANZAUYAH: RM65 SATU SET

AGAR-AGAR UKIR ZANZAUYAH: RM65 SATU SET